Komentar Bahasa: Pelita Bahasa

November 7, 2008 | |

Tajuk artikel-artikel Pelita Bahasa pada bulan November 2008 amat menarik perhatian saya untuk memberikan pandangan serta berkongsi pengalaman dalam memperkasakan Bahasa Melayu. Semangat kecintaan itu melonjak apabila membaca ruangan Nota Editor nukilan Saudara Editor berkenaan masa depan Bahasa Melayu.

Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa ibunda kita sedang menghadapi cabaran yang menggunung tingginya dalam usaha mengekalkan ‘kelangsungan hidup’. Tidak cukup cabaran dengan kemasukan Bahasa Inggeris yang pada mulanya perlahan ke dalam hati masyarakat kita, mentality ahli masyarakat modenisme itu sendiri menjadi musuh utama. Adakah hal ini berlaku kerana ketidakcintaan semata-mata kepada bahasa sendiri? Atau adakah pendidikan celupan Barat yang disogokkan ke dalam minda generasi muda mempengaruhi? Bolehkah globalisasi disalahkan semata-mata? Atau adakah realitinya kelemahan kita sendiri yang menyumbang kepada kealpaan?

Globalisasi boleh dikatakan salah satu penyumbang kepada kehilangan jati diri Bahasa Melayu dalam diri. Hal ini kerana kita perlu mendapatkan pengetahuan dengan memahami Bahasa Inggeris. Dan untuk memahaminya, kita perlu belajar.

Sikap masyarakat kita yang mudah menerima tanpa menapis juga menyumbang kepada isu ini. Kita didedahkan dengan propaganda yang menyatakan bahawa Bahasa Inggeris bahasa dunia maka siapa yang mengusainya dikatakan sebagai moden, terkini, bijak, bersifat antarabangsa dan sebagainya. Walhal telah kita ketahui bahawa Perancis dan Jepun, antara negara yang mengekalkan penggunaan bahasa ibunda mereka merupakan salah sebuah negara maju standing dengan negara-negara Barat lain.

 Teringat saya akan pengalaman mengajar bahasa kepada salah seorang pelajar Darjah Lima. Saya sedang cuma untuk menggalakkan pelajar ini supaya rajin membaca buku cerita dan majalah supaya mendapat keputusan yang baik dalam subjek bahasa. Saya galakkan pelajar ini supaya meminta ibu bapanya membeli sekurang-kurangnya sebuah majalah (Dewan Pelajar) dan sebuah buku cerita. Namun pelajar ini menjawab bahawa ibu bapanya tidak mempedulikan tentang perkara ini. Malah ayahnya pernah memberitahunya bahawa, “Belajar bahasa tidak boleh buat duit.”

 Alangkah sedihnya saya mendengar kata-katanya. Tidaklah saya memarahinya kerana bukan salah pelajar sayapun. Namun ibu bapanya sendiri yang mempengaruhinya untuk tidak mementingkan aspek kebahasaan dalam peperiksaan sebaliknya menumpukan kepada mendapat keputusan yang baik dalam subjek bahasa Inggeris, Sains dan Matematik semata.

 Perlahan-lahan saya menggalakkan dia untuk membaca dengan memberi majalah Dewan Pelajar dan buku-buku cerita setiap bulan untuk dibaca. Semuanya diberikan dengan ikhlas untuk menimbulkan minat membaca dalam diri pelajar ini. Alhamdulillah, telah nampak kesan positif dalam masa dua bulan ini. Namun sayapun tidak mampu untuk terus menerus memberikan bahan bacaan secara percuma, maka saya galakkan dia untuk mengumpul duit dan membeli sendiri.

 Diharap agar dalam diri kita yang mengakui terdapat rasa sayang terhadap bahasa Melayu agar berbuat sesuatu mengenainya. Sumbangan yang mudah boleh kita lakukan dengan anak-anak kita, rakan-rakan kita, mereka di sekeliling kita. Kita boleh mulakan dengan memberikan hadiah buku dan bukannya barang elektik atau alat mainan. Kita boleh mulakan dengan meminjamkan buku-buku. Kita boleh mulakan dengan membeli bahan bacaan setiap bulan. Kita juga boleh mulakan dengan bermain permainan bersifat kebahasaan seperti Sahibba.

Semuanya bermula dengan diri sendiri.


Comments



You must be logged in to post a comment.

Name (required)

Email (required)

Website

Speak your mind